Rumah setingkat, dua tingkat atau tiga tingkat? dilema bakal pemilik rumah

Sering pelanggan bertanyakan kepada kami, rumah mana yang sesuai untuk dibina, setingkat, dua tingkat atau tiga tingkat?
kelebihan rumah 1 2 3 tingkat

Kelebihan & kekurangan rumah 1, 2 & 3 tingkat untuk pertimbangan tuan rumah.

Kita cuba huraikan dibawah kelebihan dan kekurangan bagi setiap jenis rumah supaya para pembaca dapat menilai sendiri keperluan mereka sama ada perlu rumah setingkat, dua tingkat atau tiga tingkat. (Baca tips memilih kontraktor bina rumah yang mahir, elakkan sesalan dikemudian hari.)

Artikel ini ditulis dari pengalaman kontraktor rumah Nas Nuri Construction yang telah menguruskan pembinaan lebih 100 banglo bermutu di sekitar Selangor & Negeri Sembilan.

Rumah setingkat:

rumah 1 tingkat


  1. Bagi rumah setingkat, ia adalah rumah yang paling mudah untuk diuruskan berbanding rumah bertingkat. dari segi penyelenggaraan, ia adalah yang paling mudah, pemilik tidak perlu risau mengenai tandas tingkat atas bocor, masalah sakit kaki untuk menaiki tangga, masalah gayat untuk membaiki bumbung dan sebagainya yang sering terjadi jika rumah kita adalah bertingkat. 
  2. ini adalah kelebihan rumah setingkat, kita tidak perlu turun naik tangga hanya untuk mengambil segelas air di dapur, lebih-lebih lagi jika tiga tingkat, jenuh rasanya untuk turun ke bawah hanya untuk mengambil air atau tertinggal barang.  Ada klien kami yang menyediakan peti ais di dalam bilik untuk mengatasi masalah ini, memang kelakar bunyinya tapi jika untuk minum air dingin jam 3 pagi, mungkin kita akan nampak realistik mereka meletakkan peti ais tersebut.
  3. Jumlah bilik air juga untuk rumah setingkat boleh diminimakan. Hanya minima 1 atau 2 bilik air bagi rumah yang kecil sudah memadai, tidak perlu pening untuk memikirkan bagi mencuci bilik air yang banyak. Jika rumah 2 tingkat, kebiasaan pemilik rumah akan mempunyai sekurang-kurangnya 3 bilik air. 
  4. Tetapi rumah setingkat juga ada kekurangannya terutama dari segi penggunaan tanah. Kita perlukan saiz tanah yang besar untuk membina rumah yang besar. Jika saiz tanah kita hanya 5000kps tetapi ingin membina 6-7 buah bilik bagi rumah tersebut, mungkin boleh kita bina dengan saiz bilik dikecilkan tetapi keadaan ruang tanah akan jadi sempit, untuk anak bermain diluar pun tidak mempunyai ruang. 
  5. Rumah setingkat juga menyebabkan ruangan privasi kita terhad. Bagi rumah bertingkat, kita boleh meminta anak-anak duduk di tingkat atas jika ada tetamu yang datang dan tidak menganggu dibawah. bilik-bilik juga boleh kita letakkan diatas untuk lebih privasi. 
  6. Bagi rumah setingkat juga akan menyebabkan pemandangan kita terhalang. Bayangkan jika pemandangan rumah kita menghadap bukit bukau yang cantik tetapi terhalang disebabkan rumah jiran, sayangnya jika tidak dibina rumah bertingkat kerana pemandangan yang cantik begitu hanya boleh didapati di resort-resort sahaja. 


Rumah dua tingkat:

rumah 2 tingkat

  1. Setelah kita teliti bagi rumah setingkat, mari kita teliti pula kelebihan dan kekurangan rumah dua tingkat.
  2. Untuk rumah dua tingkat, kelebihannya adalah saiz penggunaan tanah yang lebih kecil dari rumah setingkat. jika binaan rumah kita adalah 5000kps, untuk rumah setingkat, kita perlukan keseluruhan saiz tanah 5000kps, untuk binaan rumah 2 tingkat pula, saiz tanah boleh dikurangkan sehingga 2500kps. Tidak perlu lah kita memasang khemah hingga menutup jalan hanya untuk rumah terbuka hari raya lagi sebab tanah dikawasan rumah pun cukup untuk dipasang khemah.
  3. Rumah lebih privasi, kekurangan rumah setingkat seperti yang kita bincangkan sebelum ini adalah kelebihan bagi rumah dua tingkat, kita boleh jadikan ruang privasi untuk rumah kita di tingkat atas. Begitu juga pemandangan, kita boleh letakkan verandah di kawasan yang mempunyai pemandangan yang cantik.
  4. Tetapi terdapat kekurangan yang agak signifikan bagi rumah dua tingkat. Bagi rumah bertingkat, ruangan tangga akan memakan ruangan rumah, saiz tangga kebiasaannya adalah dalam 12ka x 10ka, bagi dua tingkat, ia akan menjadi 240 kps, saiz tersebut adalah bagi 2 buah bilik yang kecil, saiz tersebut terpaksa kita korbankan bagi membina tangga.
  5. Risiko kebocoran bagi bilik air juga adalah tinggi, sekiranya kerja "water proofing" tidak dibuat dengan betul, kebocoran bilik air boleh berlaku. Untuk mengelakkan akan terjadi kesan "watermark" yang besar di bilik atau diruang tamu,ruangan bilik air seelok-eloknya diletakkan diatas bilik air tingkat bawah atau bahagian luar terutama bagi mangkuk tandas tetapi kadang-kadang perkara ini tidak boleh dielakkan disebabkan penggunaan ruang, oleh itu pastikan "water proofing" yang baik digunakan.
  6. Selain dari ini, jika berlaku kerosakkan bagi bahagian atap, kerja baik pulih akan lebih sukar dilakukan kerana ketinggian rumah. jika kita seorang yang gayat, lupakan sahaja untuk baikpulih bumbung tersebut sendiri, tinggi dari bumbung ke tanah kebiasaanya lebih dari 30ka.


Rumah tiga tingkat:

rumah 3 tingkat

  1. Bagi kediaman tiga tingkat, sudah tentu kelebihan utamanya adalah dari segi penggunaan tanah yang lebih kecil. Jika tadi bagi 5000kps untuk 2 tingkat kita perlukan tanah sekurang-kurangnya bersaiz 2500kps, untuk 3 tingkat, memadai tanah tersebut hanya 1700kps, semestinya kita tidak boleh membina rumah dengan hanya tanah bersaiz 1700kps, seperti artikel pernah ditulis sebelum ini, seeloknya kita hanya gunakan separuh sahaja dari keluasan tanah supaya kita mempunyai laman.
  2. Sekiranya rumah dua tingkat kita boleh mendapatkan pandangan yang cantik (sekiranya tanah kita mempunyai pemandangan), bagi 3 tingkat, pemandangannya adalah lebih lagi.
  3. Bagi rumah tiga tingkat, kekurangan ketaranya adalah ketinggian. Kos binaan bagi rumah tiga tingkat adalah lebih tinggi dari binaan rumah dua tingkat. Kebiasaannya rumah 3 tingkat memerlukan asas cerucuk konkrit, oleh itu kerja "soil investigation, SI" perlu dilakukan bagi menentukan kedalaman cerucuk yang diperlukan. Cerucuk diperlukan bukan disebabkan ketinggian tetapi beban rumah tersebut kepada asas tapak binaan.
  4. Disebabkan ketinggian rumah juga, kita memerlukan tangga dan ruang tangga adalah lebih besar diperlukan dari rumah 2 tingkat. Begitu juga dengan kepayahan kita untuk turun dan naik tangga, seeloknya bagi rumah 3 tingkat, disediakan ruangan pantri di tingkat dua atau tiga untuk memudahkan kita untuk memasak dan membuat air. Jika ada bajet, boleh difikirkan untuk diletakkan lif untuk memudahkan kita naik ke tingkat 3. 


Penutup

Bagi memudahkan mendapat gambaran yang lebih baik, saya sertakan ringkasan yang telah kita bincangkan diatas untuk memudahkan tuan puan membuat rujukan. 
  1. Rumah 1 tingkat paling kurang kos penyelengaraan & mudah proses pembinaannya tetapi memerlukan saiz tanah yang lebih besar.
  2. Rumah 2 tingkat sesuai untuk membina rumah yang lebih besar di atas tanah yang kurang luas. Lebih sesuai di kawasan bandar. Mudah untuk penjagaan aurat untuk ahli keluarga semasa menerima tetamu. Kos penyelenggaraan lebih tinggi berbanding rumah 1 tingkat.
  3. Rumah 3 tingkat terbaik untuk memaksimakan penggunaan ruang untuk saiz tanah yang kecil.Sesuai dibina dikawasan yang mempunyai permandangan yang cantik. Kekurangannya yang paling ketara, kos pembinaan yang lebih tinggi & sukar untuk penghuni di tingkat 3 untuk turun ke bawah.
Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada bakal-bakal pemilik rumah.



Nasa Azman
Berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Putra Malaysia. Beliau merupakan Pengarah Urusan Nas Nuri Construction Sdn Bhd. Berpengalaman 10 tahun dalam bidang pembinaan terutama binaan banglo & rumah sesebuah. Beliau boleh dihubungi di alamat emel nasa7377@gmail.com atau boleh terus melayari laman sesawang www.nasnuri.com untuk lebih mengenali Nas Nuri Construction.

Rumah setingkat, dua tingkat atau tiga tingkat? dilema bakal pemilik rumah Reviewed by Ibu Syurga on September 30, 2019 Rating: 5

Tiada ulasan:

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Dikuasakan oleh Blogger.