Tips tandas berbau. Apakah punca dan cara mengatasinya?

Pernah terjadi di rumah anda, bau tandas yang kuat terutama ketika lepas hujan atau ketika pulang dari bercuti yang panjang?
Kenapa tandas berbau dan cara atasi

Sebenarnya jika anda terbau seperti ini, ada berlaku kebocoran atau sistem saliran tandas tidak sempurna. Pemilihan kontraktor rumah yang kompeten mampu mengelakkan masalah ini dikemudian hari (Baca panduan mengenalpasti kontraktor rumah berdaftar yang bagus.)

Kenal pasti bau saliran najis

Sebelum itu, pastikan bau tersebut adalah dari tandas, bau saliran najis adalah sangat menyengat akibat dari gas ammonia, baunya berbeza dari bau najis biasa. 

Jika anda berbau najis biasa, maknanya sudah tiba masa untuk mencuci tandas atau buka tingkap supaya aliran udara dalam tandas tidak terkepam, ia bukan bau dari sistem saliran tandas bocor atau tidak sempurna.

 Mengapa saliran tandas boleh berbau?

Ada banyak sebab yang boleh menyebabkan saliran tandas berbau. 
  • Antara punca utama adalah kebocoran. Kebocoran boleh terjadi di saluran angin dan saluran gulley trap yang memerangkap bau.
    .
  • Dimana kedudukan gulley trap? Gulley trap kebiasaannya terletak di bahagian kaki lima dengan bahagian atas berpenutup seperti floor trap tandas.
    .
    Ia adalah saluran yang bersambung dengan floor trap di dalam bilik air.
    .
    Jika gulley trap ini pecah, atau bocor, air tidak lagi bertakung di gulley trap dan ini akan menaikkan bau ke dalam bilik air mengikut saluran floor trap.

Contoh gulley trap
Selain dari itu, manhole yang bergenang air juga boleh menyebabkan tandas anda berbau. 
  • Ini sering terjadi selepas hujan terutama rumah kampung yang menggunakan sistem tangki septik yang mana kadang-kadang paip pembuangan air dari tangki septik dipenuhi air dan memakan masa untuk keluar ke parit.
    .
  • Kebiasaannya, ini terjadi di kawasan rendah dengan sistem perparitan tidak sempurna. Bau tersebut masuk melalui paip dari gulley trap dan mengeluarkan bau dari lubang floor trap dan sinki.
    .

Bau tersebut juga boleh datang dari paip angin. 
  • Paip angin ini terletak dibilik air dan terkeluar di atas atap rumah. Tidak semua rumah mempunyai paip angin ini, kebiasaan rumah 2 tingkat akan mempunyai paip angin ini.
    .
  • Paip angin ini bersambung terus dari saliran najis, kegunaan paip ini adalah bagi mengelak berlakunya "air pocket" didalam sistem saliran tandas.
    .
    "Air pocket" ini akan menyebabkan najis sukar untuk dipam seperti saluran tersumbat. Sekiranya paip tersebut bocor, bau dari saliran najis boleh keluar.


Bagaimana untuk mengatasi masalah ini?

Jika gulley trap tandas rumah anda sentiasa kering dan tidak bergenang air, berlaku kebocoran di dalam gulley trap.
  • Anda boleh tampal kebocoran gulley trap tersebut, gulley trap sukar untuk ditukar kerana ia tertanam didalam tanah diatas konkrit kaki lima.
    .
    Sebolehnya cuba tampal dahulu, jika tidak berhasil, baru di ganti baharu.
    .

Jika ia melibatkan saluran najis yang sentiasa bergenang air, ini adalah sukar untuk di baiki. 
  • Sekiranya dibuat sistem saliran yang baru juga belum tentu dapat menyelesaikan masalah air bergenang jika parit rumah anda sentiasa dipenuhi air dan sering berlaku banjir.
    .
  • Cara mudah untuk mengelakkan bau buat sementara waktu adalah dengan menutup floor trap dan saluran sinki bagi mengelakkan bau.
    .


Tahukah anda fungsi air di dalam mangkuk tandas? 

Air di dalam mangkuk tandas adalah berfungsi menahan bau dari saliran najis naik ke dalam tandas. 

Jika air di dalam mangkuk tandas kering, bau akan naik, jadi jika anda lihat ia kering sebabkan lama tidak diguna, hanya jiruskan air kedalam mangkuk  tandas.


Johnson suise toilet bowl

Mangkuk tandas perlu bergenang air

Jika rumah anda menggunakan jenis mangkuk tandas yang tidak bergenang air, usah risau kerana tandas jenis seperti itu kebiasaannya menggunakan S trap yang bergenang air dimana paip tersebut ditanam didalam tanah.



Nasa Azman
Berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Putra Malaysia. Beliau merupakan Pengarah Urusan Nas Nuri Construction Sdn Bhd. Berpengalaman 10 tahun dalam bidang pembinaan terutama binaan banglo & rumah sesebuah. Beliau boleh dihubungi di alamat emel nasa7377@gmail.com atau boleh terus melayari laman sesawang www.nasnuri.com untuk lebih                                           mengenali Nas Nuri Construction.