Pemaju perlu tumpu teknologi pembinaan baharu.

pemaju teknologi pembinaan terkini


KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah dijangka berdepan dengan margin keuntungan rendah pada tahun ini berikutan peningkatan kos pembinaan serta peralihan kepada pasaran jualan rumah kos rendah serta sederhana.

Penganalisis Hartanah Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), Lee Meng Horng, berkata pasaran rumah mampu milik dijangka terus mendapat 'perhatian utama' dan menjadi tema tahun depan.

"Pemaju akan memperoleh margin lebih rendah menerusi segmen hartanah berkenaan.

"Mereka mungkin tidak dapat menjual hartanah pada harga tinggi kerana perlu mengikuti trend permintaan terutama bagi segmen rumah mampu milik," katanya menerusi portal hartanah, PropertyGuru.

Beliau berkata, permintaan bagi kediaman berharga melebihi RM1 juta juga dijangka kekal perlahan pada tahun depan dan pemaju perlu mengubah tumpuan mereka kepada kediaman di bawah harga RM800,000 berikutan permintaan bagi jenis rumah itu masih kekal stabil.

Berdasarkan statistik, margin keuntungan kasar beberapa pemaju hartanah utama di Malaysia susut dari 29 peratus pada 2013 kepada 24 peratus pada tahun berakhir 30 Jun 2017 berikutan berdepan dengan kenaikan kos tanah, tenaga buruh dan pembinaan.

Sementara itu, Penganalisis Kenanga Investment Bank, Sarah Lim, berkata pemaju digesa untuk mengurangkan kos dalaman dan meningkatkan kecekapan dengan mengaplikasikan teknologi baharu seperti Sistem Binaan Industri (IBS) sebagai usaha untuk mengatasi margin rendah.

"Margin keuntungan antara satu masalah utama kepada pemaju pada masa ini, dan mereka perlu serius untuk mempertimbangkan penggunaan IBS secara meluas.

"Ia (teknologi IBS) mungkin memerlukan kos yang tinggi untuk jangka pendek, tetapi ia mampu meningkatkan produktiviti untuk jangka masa panjang," katanya.

Selain itu katanya, ketidakpastian mengenai arahan pembekuan sementara terhadap projek hartanah mewah bernilai lebih RM1 juta yang ditetapkan kerajaan sebelum ini juga turut memberikan sentimen negatif kepada pasaran hartanah.

Pada pembentangan Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi merancakkan lagi pemilikan rumah untuk rakyat melalui pelaksanaan beberapa projek.

Sebanyak 17,300 unit rumah bagi projek perumahan rakyat akan dibina pada tahun depan, selain sebanyak 3,000 unit rumah program Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

Turut dibina sebanyak 210,000 unit rumah di bawah program Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang berharga RM250,000 dengan peruntukan RM1.5 bilion bagi tempoh dua tahun.

Bagi Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) pula, sebanyak 25,000 unit rumah akan disiapkan pada tahun hadapan, manakala 128,000 unit akan dibina di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan.

Info:
  • Malaysia antara negara senarai teratas di ASEAN mempunyai program perumahan awam paling cekap.
  • Ia dicapai menerusi pembinaan rumah mampu milik, membabitkan kira-kira 17,300 unit di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat dibangunkan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) di seluruh negara.
Sumber: Berita Harian