Kisah pengalaman kami dalam kerja binaan - Bahagian 2
Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala? |
Disini saya kongsikan lagi pengalaman yang mana pembaca di dawaibesi.com
boleh mengambil pelajaran. Seperti sebelum ini, kisah yang saya cerita ini
adalah kisah benar dengan hanya lokasi serta nama sahaja yang diubah. (Anda boleh baca bahagian 1 di sini)
Kisah 1 - Kisah batu sempadan tanah di Shah Alam
Pengalaman kali ini saya ingin kongsikan mengenai kisah pertikaian sempadan tanah antara klien kami dan juga lot berjiran. En Zaki membeli 1 lot tanah bersaiz 50x100 di Shah Alam. Beliau telah memberikan Amanah kepada kami untuk membina sebuah banglo 2 tingkat termasuk rekabentuk. Seperti sebelum ini, tiada apa2 masalah Ketika kerja perbincangan sehinggan tandatatangan kontrak antara kami dan En Zaki.
Jangan main main, kerana batu sempadan boleh bergaduh jiran dan saudara |
Masalah timbul apabila jiran yang bersempadanan tanah degan En Zaki datang ketapak dan memarahi pekerja kami atas alasan kami telah memakan tanah tapak beliau. Kami yang tidak tahu menahu telah meminta En Zaki membuat semula ukur tapak supaya perbalahan tersebut boleh diselesaikan. Jiran tersebut tidak mahu menggunakan surveyor kami, beliau ingin mencari surveyor sendiri.
Setelah ukur semula tapak, yang mengejutkan, bukan kami yang telah
memakan tanah beliau, tetapi jiran tersebut telah memakan tanah milik En Zaki
sebanyak 5ka. Disini timbul masalah baru, sebabkan saiz lot tersebut adalah
50ka lebar didalam geran, ini bermaksud En Zaki telah memakan tanah jiran yang
1 lagi sebanyak 5ka dan berlapis-lapis hingga ke hujung lot tanah. Ini berpunca
dari batu sempadan yang telah dialihkan dan tambah memeningkan, batu sempadan disetiap
lot lain juga menjadi berubah.
Disini ingin saya tegaskan, seeloknya, sebelum membuat kerja binaan, pastikan saiz tanah lot kita adalah betul dan tidak silap, jika was-was, dapatkan khidmat land surveyor berdaftar yang mana mereka boleh mendapat kedudukan betul tanah kita berdasarkan sempadan yang dikeluarkan pihak JUPEM.
Ibu pejabat JUPEM di Jalan Semarak Kuala Lumpur |
Dapatkan khidmat juruukur tanah yang berdaftar dengan JUPEM |
Masalah sempadan selalunya terjadi apabila rumah kita adalah rumah pertama atau masih banyak rumah yang belum dibina di kawasan tersebut. Sering kali menjadi masalah begini adalah bagi klien yang membina tanpa membuat submission di PBT, sekiranya membuat submission, melantik surveyor berdaftar adalah wajib.
Kisah 2 - Kisah pelanggan nak uruskan semua sendiri
Apa akan jadi sekiranya semua kerja kita mahu lakukan sendiri? Baca kisah syahdu ini |
Kisah ini pula melibatkan tuan rumah yang ingin membuat “semua sendiri”.
En Majid ingin membuat semua submission sendiri kepihak PBT termasuk urusan
pelan, penyediaan pelan dan meeting di PBT. Beliau bukan lah seorang yang telah
biasa mengenai submission ke PBT tetapi mungkin ingin menjimatkan kos atau suka
cabaran baru, beliau ingin membuatnya sendiri dari A hingga Z termasuk penyedian
pelan-pelan struktur, IWK dan pelan kerja tanah. Menariknya, En Majid bukan lah
bekerja sendiri atau pesara yang mempunyai banyak masa, beliau bekerja di
sebuah syarikat mnc dengan jawatan tinggi dan sentiasa sibuk.
Masuk kandang kambing mengembek, masuk majlis tempatan berbeza, lain ragamnya |
Untuk memudahkan kerja beliau, beliau telah meminta seorang freelance
melukiskan pelan rumah tersebut seperti yang diingini dan kami pula telah
dilantik sebagai kontraktor utama. En Majid bukan sahaja ingin membuat
submission ke PBT sendiri, tetapi dari segi pembelian bahan binaan terutama
melibatkan kemasan semua ingin dibeli sendiri dan meminta kami untuk
memasangnya dan sesetengah bahagian akan dipasang oleh pihak subkontraktor yang
dilantik En Majid.
Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan di duga. Kerja submission bukan mudah tuan puan. |
Saya ketika ini masih baru lagi dalam binaan banglo, bersetuju untuk
membantu beliau dan memandangkan ilmu mengenai bahan kemasan masih tidak terlalu
diketahui, saya bersetuju untuk membantu beliau dengan membenarkan barang kemasan
dibeli beliau dan pihak kami hanya memasang. Bahan-bahan kemasan yang dibeli
sendiri adalah pintu, tingkap, tile, alatan tandas, alatan dapur dan lain-lain
termasuk juga subkontrak-subkontraktor yang dilantik oleh beliau sendiri.
Subkontraktor lantikan pelanggan yang tidak tahu menahu selok belok pembinaan |
Disini timbul banyak masalah. Pertama dari segi submission, disebabkan beliau bukanlah orang yang tahu dan bukan juga ada ilmu didalam submission di PBT, berlaku banyak masalah ketika submission, tempoh submission menjadi panjang, ditambah masalah freelance beliau lantik ghaib (mungkin tertekan kerana terlalu banyak pembetulan perlu dibuat), pelan IWK yang bemasalah dan banyak lagi. Akibatnya kos yang ingin dijimatkan tidak menjadi jimat kerana beliau perlu melantik freelance lain dan berlaku masalah dalam mendapatkan CCC.
Belum lagi dari segi pembinaan rumah, disebabkan terlalu “banyak tangan” bagi
rumah tersebut dengan subcon diselia oleh En Majid sendiri tanpa beliau ada
ilmu dalam pembinaan, kerja binaan menjadi caca-merba. Pihak kami selaku kontraktor
utama memang sangat memeningkan, dengan ada barang-barang yang dibeli sendiri
beliau, ketika berlaku barang tidak cukup, pekerja kami terpaksa menunggu
dengan gaji berjalan dan disebabkan En Majid tidak arif mengenai barang binaan serta
pengiraan kuantiti, barang yang diberi sentiasa tidak cukup dan salah,
akibatnya sesetengah alatan tidak boleh dipasang dan sesetegah peralatan telah
dibeli terlalu awal menyebabkan lambakkan barang di tapak.
Masalah lambakan barang kerana pelanggan |
Berlaku banyak kali pembaikkan perlu dibuat disebabkan “banyak tangan”,
sering berlaku pertikaian pihak yang perlu menjalankan kerja baik pulih dan
banyak kali kami terpaksa beralah untuk membaiki dinding yang ditebuk dan diplaster
serta dicat semula. Atas pengalaman ini, pihak kami tidak lagi membenarkan klien
melantik sub kontraktor sendiri dan membuat pembelian barang kemasan sendiri.
Bagi kisah ini, pihak kami mengalami kerugian disebabkan kelewatan kerja
binaan, banyak kali kerja baik pulih perlu dilakukan dan CCC tidak keluar (En
Majid membuat pinjaman bank, maka bayaran akhir hanya diterima setelah CCC keluar).
Kos yang ingin dijimatkan oleh En Majid tidak kesampaian, kos binaan rumah beliau
menjadi lebih tinggi dan telah lari dari harga asal yang kami beri dan rumah
tersebut tidak dapat siap dengan sempurna, sebahagian kerja atas sub kontraktor
yang dilantik En Majid tidak siap dan
ada kerja-kerja yang perlu kami siapkan setelah sub kontraktor menjalankan
kerja menjadi tergendala.
Jerat tak pernah lupakan pelanduk. Berhati hati semasa membeli di jualan gudang |
Disebabkan pengalaman ini, kami bertegas untuk tidak membenarkan pihak
klien membuat pembelian sendiri dan melantik subkontraktor sendiri. Ada caranya
pihak klien boleh mendapat barang yang dimahukan, beliau boleh memaklumkan kami
barang yang diminati, dan kami akan membelikan barang tersebut. Bagi sesetengah
barang, kami membenarkan pihak klien membeli sendiri dengan mendapat khidmat
nasihat kami. Harga yang dibeli sendiri tidak lah murah sebenarnya seperti yang
disangka oleh pihak klien, contoh seperti En Majid tadi. Ada banyak muslihat-muslihat
penjual untuk menjual produk mereka, kebanyakkan barang yang dijual murah adalah
barang stok lama atau sesetengah barang memang mempunyai “design faulty” terutama
produk dari China, akibat tertarik dengan ” jualan gudang”, banyak produk2 yang
dibeli tuan rumah terutama paip-paip air tidak boleh bertahan lama dan cepat
rosak serta karat.
Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. |
Pengalaman ini satu pengajaran kepada saya dan juga boleh diambil
iktibar oleh pembaca dawabesi.com. Jangan kita buat kerja yang kita tidak tahu
dan bukan semua kita boleh belajar semata-mata dengan hanya “Google” dan
belajar “online” terutama yang melibatkan risiko besar seperti pembinaan banglo
lebih-lebih lagi jika berbajet besar. Akibat sedikit silap langkah, kerugian besar
yang perlu kita tanggung.