Projek hartanah RM1 juta dibekukan

projek hartanah di hentikan


KUALA LUMPUR 19 Nov. - Kerajaan membekukan­ sementara projek pembangunan hartanah ber­nilai RM1 juta ke atas untuk mengelak daripada mengalami kesan lebih teruk kepada ekonomi negara pada masa depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, keputusan itu dibuat Kabinet pada 1 November lalu selepas mengambil kira isu kemerosotan pasaran hartanah yang me­nyaksikan semakin ramai pembeli tidak mampu memiliki rumah kerana dijual pada harga terlalu tinggi.


“Laporan daripada Bank Ne­gara yang mengambil kira unit-unit kondominium, pusat beli-belah, bangunan pejabat dan unit-unit komersial yang berharga RM1 juta ke atas telah me­lebihi permintaan.

“Oleh itu, Kabinet memutuskan untuk membekukan sementara jenis projek tersebut sehingga ia bergantung kepada perkembangan ekonomi sete­rusnya.

“Stok pembangunan yang ada sekarang agak banyak dan saya kira kena habiskan dulu dan kita akan lihat semula dari segi strategi pembangunan itu untuk akan datang,” katanya ketika ditemui dalam program Kembali Ke Sekolah di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu pasaran hartanah yang dijang­ka merosot pada tahun depan de­ngan pemaju dan pemilik rumah berhadapan de­ngan masa-masa yang sukar untuk mencari pembeli.

Johari bagaimanapun berkata, bagi rumah-rumah mampu milik dan bernilai RM300,000 ke bawah, kerajaan akan meneruskan projek pembangunan tersebut kerana ia masih mendapat permintaan dalam kala­ngan rakyat.

“Permintaan untuk rumah mampu milik mencecah 48 peratus tetapi bekalan cuma ada 24 peratus. Masih banyak ruang yang boleh diisi demi untuk keperluan rakyat.

“Jadi kita mahu mengimbanginya sebab banyak unit-unit yang tidak terjual ini adalah rumah bernilai lebih daripada RM300,000 sampailah berjuta-juta. Oleh itu, untuk mengimbanginya, kita perlu bekukan,” katanya.

Pada program itu, seramai 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah kurang berkemampuan di Parlimen Titiwangsa menerima sumbangan keperluan persekolahan daripada Plus Malaysia Berhad (PLUS).

Bantuan de­ngan nilai kos sebanyak RM250,000 itu bertujuan membantu meri­ngankan beban golongan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan pendidikan untuk anak-anak.

Sumber: Utusan