Hartanah jenis industri bakal jadi tumpuan.

Hartanah jenis industri bakal jadi tumpuan.


KUALA LUMPUR: Hartanah jenis industri dijangka akan menjadi tumpuan bagi pasaran hartanah Malaysia pada masa depan, selari  dengan pertumbuhan gelombang Revolusi Industri 4.0.

Firma perunding hartanah terbesar Malaysia, Rahim & Co, berkata ekonomi digital semakin membentuk kemahuan dan keperluan baharu bagi pengguna di seluruh dunia.

"Dengan pertumbuhan pesat e-dagang serta penubuhan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), hartanah jenis industri dijangka akan menjadi tumpuan bagi kebanyakan pelabur pada masa akan datang terutama untuk tujuan logistik dan penggudangan," katanya mengumumkan Tinjauan Prospek Pasaran Hartanah 2018, di sini, hari ini.

Menurut firma itu, secara keseluruhan pasaran hartanah tahun ini terus mencabar, tetapi dilihat lebih mendatar dan stabil berbanding 2017.

Katanya, sektor kediaman dijangka melihat lebih banyak projek dalam kategori mampu milik yang berharga sehingga RM500,000 sekitar di Lembah Klang dan lebih rendah di negeri lain.

"Persaingan yang tinggi bakal berlaku di mana lebih ramai pemaju akan beralih kepada segmen mampu milik.

"Produk yang berada dalam lingkungan RM250,000 hingga RM500,000 dijangka akan menunjukkan prestasi yang baik bergantung kepada lokasi, kualiti serta prasarana setempat," katanya.

Sebaliknya bagi kategori rumah mewah, ia masih kekal mencabar dengan pembetulan harga kurang 10 peratus dari harga sebenar transaksi sejak 18 hingga 24 bulan lalu, atau kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada harga asal penjual rumah di pasaran sekunder.

Bagi sektor pejabat, firma itu berkata, lebihan bekalan terus membimbangkan berikutan jumlah penawaran di Lembah Klang semakin meningkat, mencecah 131 juta kaki persegi.

"Dengan penawaran 18 hingga 20 juta kaki persegi yang dijangka memasuki pasaran dalam tempoh beberapa tahun akan datang, tekanan akan berterusan dapat dilihat pada kadar penghunian dan kadar sewa," katanya.

Sumber: Berita Harian