BNM kekang gelembung hartanah.

Gelembung pasaran hartanah bnm


KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan mengalami gelembung hartanah tahun ini, berikutan langkah pencegahan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini, berjaya menstabilkan pasaran hartanah tempatan.

Pengarah Urusan CBRE | WTW, Foo Gee Jen, berkata langkah yang diambil BNM antaranya memansuhkan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) dan mengetatkan syarat kelayakan pembiayaan berjaya memastikan pasaran hartanah terus berdaya tahan.

Selain itu, katanya, tanda-tanda awal berlakunya gelembung hartanah juga tidak kelihatan sehingga kini, seperti berlakunya penjualan panik dalam kalangan pemilik hartanah.

"Mungkin ada sesetengah subkawasan seperti di Cyberjaya, banyak hartanah tidak terjual ketika ini, namun pasaran secara keseluruhannya masih baik.

"Jika anda pergi ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau bandar kecil seperti di Teluk Intan, Perak dan Kuantan, Pahang, tiada penjualan panik berlaku di situ.

"Keadaan pasaran hartanah di Johor Bahru yang mengalami penurunan permintaan pada 2015 sehingga tahun lalu juga kini sudah mula berkurangan," katanya pada sidang media selepas taklimat Unjuran Pasaran Hartanah Asia Pasifik 2018: Malaysia di sini, hari ini.

Gee Jen berkata, beliau percaya BNM tidak akan mengenakan langkah pencegahan tambahan memandangkan apa yang dilakukan sebelum ini sudah memadai, selain situasi pasaran hartanah ketika ini sudah stabil.

"Sebaliknya, BNM kini seharusnya menumpukan perhatian kepada kegiatan guru hartanah tidak berlesen dan kelab pelabur yang menyumbang kepada spekulasi harga hartanah," katanya.

Beliau berpendapat, pasaran hartanah tahun ini diunjurkan tidak banyak berubah berbanding tahun lalu, dengan kadar pertumbuhan jualan sebanyak satu angka.

"Namun, terdapat sesetengah sektor terutama rumah bertanah akan masih mendapat permintaan menggalakkan," katanya.

Sumber: Berita Harian