57 peratus mahu beli hartanah!

Beli rumah tahun 2018


Pengurus Negara PropertyGuru, Sheldon Fernandez berkata, kira-kira satu pertiga responden kini mencari hartanah berharga di antara RM300,000 sehingga RM500,000 sebuah.

Katanya, terdapat peningkatan lima peratus yakni daripada 26 peratus pada enam bulan yang lalu kepada 31 peratus bagi mereka yang mencari hartanah di bawah RM300,000.

Tambah beliau, 2018 bakal melihat peningkatan transaksi kerana pembeli mengambil ke­sempatan membeli tatkala ada­nya bekalan hartanah berlebihan terutamanya kediaman bertingkat tinggi.

“Terdapat perubahan dalam jumlah pembeli yang menukar anggaran bajet rumah yang membolehkan mereka lebih bersedia untuk membuat pembe­lian.

“Ciri-ciri pencarian rumah masih tidak berubah. Lokasi, keselamatan dan saiz masih merupakan faktor utama untuk membeli rumah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tinjauan Sentimen Pengguna Proper­tyGuru menunjukkan 44 peratus responden merupakan pembeli hartanah buat kali pertama atau mereka yang mempunyai niat untuk membeli rumah.

Para pelabur dan mereka yang ingin menaik taraf rumah kediaman masing-masing merangkumi 30 peratus dan 20 peratus daripada komposisi responden.

Mengenai prospek hartanah, Fernandez berkata, pemulihan sentimen dijangka sepanjang 2018 dengan perubahan sikap pengguna terhadap isu bekalan hartanah berlebihan dan peningkatan bantuan kerajaan dalam memiliki rumah mampu milik.

“Faktor makro ekonomi yang merangkumi nilai ringgit yang semakin kukuh, kenaikan harga minyak mentah dan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut memainkan peranan,” katanya.

Sumber: Utusan