Pelabur hartanah kena bijak urusan cukai

Pelabur hartanah kena bijak urusan cukai

KUALA LUMPUR: Sering kita mendengar rungutan mengapa perlu membayar cukai banyak, bukannya mendapat faedah pun. Ada yang mengatakan kita bayar cukai, tetapi kerajaan tidak membantu pun.

Terlalu banyak pandangan negatif dan alasan yang diberi hanya disebabkan sikap tidak ingin membayar cukai kerana berasakan banyak perkara lain boleh diselesaikan dengan wang itu.

Kita perlu sentiasa memandang cukai dalam sudut positif juga. Bayangkan jika cukai tidak wujud dalam struktur pendapatan negara, sudah tentu negara akan mengalami kesukaran untuk membangun dan menguruskan negara.

Kerajaan perlu mewujudkan dan menaik taraf beberapa fasiliti seperti lebuh raya, hospital, universiti, sekolah dan banyak lagi.

Kewujudan fasiliti seperti akan membuatkan banyak pembinaan rumah dan bangunan komersial dibuat.

Selain itu, kita perlukan dana untuk keselamatan negara dan sistem pengurusan kerajaan. Kestabilan pendapatan akan menjamin keselamatan, sekali gus menjamin keamanan yang mampu untuk menarik pelabur dari luar dan membantu mengembangkan ekonomi negara.

Adakah kita masih nak fikirkan cukai tidak sepatutnya wujud?

Dalam kesibukan kita menyalahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam menjalankan tugas mereka, kita seolah-olah terlupa bahawa kita juga sudah melakukan kesalahan dalam menjalankan tanggungjawab.

Terlalu ramai yang mengambil tindakan tidak peduli dengan kehendak dan keperluan Akta Cukai Pendapatan 1965.

Antara kesilapan yang sering dilakukan ialah lewat menghantar borang pada waktu yang ditetapkan, tidak melaporkan pendapatan yang sebenar dan melakukan penipuan dalam mengisytiharkan cukai.

Tindakan yang dibuat mereka ini hanya sia-sia jika dibandingkan risiko yang terpaksa ditanggung.

Bagi sesetengah usahawan banyak kesalahan terjadi disebabkan kurangnya ilmu mengenai perakaunan dan cukai.

Disebabkan itu mereka hanya memberi tumpuan kepada operasi dan pemasaran tanpa memikirkan perkara yang berkaitan pengurusan dan pentadbiran.

Mereka sering cuai menyimpan rekod dan dokumen yang boleh membantu syarikat dalam merekod perakaunan dengan tepat.

Ketepatan dalam merekod akan membantu mereka untuk mengetahui keuntungan atau kerugian yang sebenar daripada hasil titik peluh mereka.

Ia juga dapat membantu merancang cukai bagi mengelakkan pelbagai penalti dikenakan. Cubaan untuk melarikan cukai biasanya akan dapat dikesan oleh pegawai LHDN yang sememangnya dilatih khusus untuk situasi berkenaan.

Sebaiknya kita mengetahui dan berdisiplin dalam memastikan segala rekod yang kita buat adalah tepat dan tidak menuntut perbelanjaan yang bersifat peribadi.

Kita juga perlu mengetahui pelepasan yang dibenarkan oleh LHDN seperti pembelian buku, insurans, pembelian komputer, menyimpan dalam tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan banyak lagi.

Optimakan sebaiknya pelepasan yang diberi oleh LHDN bagi memastikan kita dapat meminimumkan bayaran cukai.

Kita juga boleh memilih untuk membuat kiraan secara berasingan jika suami dan isteri mempunyai pendapatan. Ini membolehkan individu berkenaan memaksimumkan pelepasan yang diberi.

Kepada yang sebelum ini memilih entiti perniagaan seperti pemilikan tunggal dan perkongsian, boleh berfikir untuk beralih kepada Sendirian Bhd atau Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) jika pendapatan bercukai melebihi RM70,000.

Ini kerana kadar cukai lebih kurang berbanding menggunakan pemilikan tunggal dan perkongsian.

Individu yang mempunyai pendapatan sewa yang banyak boleh memilih untuk membuka entiti perniagaan dan mengetahui syarat untuk memaksimumkan perbelanjaan yang boleh digunakan untuk mengurangkan cukai.

Kepada individu yang mempunyai rumah dan mempunyai niat untuk menjual rumah mereka hendaklah mengetahui tahun yang sesuai untuk melaksanakan transaksi jual.

Sebagai contoh, jika mereka memilih untuk menjual rumah pada tahun kelima, adalah lebih bijak jika memilih untuk menangguh penjualan rumah ke tahun berikutnya.

Ini kerana kadar cukai keuntungan hartanah penjualan rumah untuk individu pada tahun keenam adalah sifar. Berbanding menjual pada tahun kelima, di mana individu itu dikehendaki menanggung kadar cukai keuntungan hartanah sebanyak 15 peratus.

Sebagai pelabur hartanah atau pembayar cukai yang bijak, sebaiknya mereka memilih untuk menjadi bijak dalam urusan akaun dan cukai.

Jangan memilih untuk lari daripada cukai kerana kompaun yang dikenakan sangat merugikan anda.

Pilihlah untuk mematuhi akta yang ditetapkan, mengetahui pelepasan dan perbelanjaan yang dibenarkan serta mengetahui cara bijak untuk mengurangkan cukai.

Akhir kata, jadilah pelabur hartanah yang sentiasa bijak merancang dengan ilmu dan pengalaman.

*Penulis ialah Pengarah Urusan Amacc Corporate Services Sdn Bhd

INFO

Maklumat lanjut mengenai Pameran Hartanah MyRumah boleh hubungi 012-6560263 (Haslan) atau e-mel ke myrumah@mediaprima.com.my

Sumber: Berita Harian