Mengapa permohonan pinjaman rumah ditolak?

Mengapa permohonan pinjaman rumah ditolak?

KUALA LUMPUR: Jangan menyalahkan bank jika permohonan pembiayaan kita gagal. Bank tidak akan sewenang-wenangnya menggagalkan permohonan pelanggan jika tiada isu.

Berikut adalah perkara penting yang perlu dielakkan sebelum membuat permohonan pembiayaan.

1. CCRIS tidak cantik

Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) tidak baik bukan hanya bermaksud ada tunggakan dalam bayaran pinjaman saja. Boleh jadi sebab "jenis" pinjaman yang dibuat, ada "perintah bayaran", ada rekod di Akaun Perhatian Khas (SAA), atau mungkin ada rekod penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman. Ini semua menyebabkan skor kita di mata bank kelihatan lemah.

2. Penggunaan had kad kredit

Had kad kredit yang ditetapkan bank RM10,000, namun digunakan sehingga RM10,599 atau mungkin had kad kredit RM10,000 tetapi sudah digunakan RM8,000.

Senang cerita, semua kad kredit yang ada, semuanya digunakan melebihi 70 peratus daripada had kredit yang diberikan oleh bank. Orang yang begini, bank akan pandang dia sebagai tidak mempunyai wang tunai (cashless). Jaminan untuk membayar hutang pembiayaan adalah lemah.

3. Baki gaji di dalam akaun hanya ada minimum

Hari gaji pada tarikh 25 setiap bulan, tetapi baru 5 haribulan, baki dalam akaun hanya tinggal RM10.58! Selain daripada itu, simpanan juga tiada sama ada dalam bank, Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).

4. Jenis hartanah yang mahu dibeli

Bila bercakap mengenai membeli hartanah bukan seperti kita membeli baju. Cuba depan cermin, bayar dan nanti kalau sudah tidak suka boleh sedekah kepada orang lain atau boleh dibuang saja.

Bila membeli hartanah, kita kena ada sekurang-kurangnya asas ilmu mengenai hartanah. Kena tahu status hartanah itu, sama ada sudah mempunyai geran individu atau belum, nilai pasarannya boleh 'diterima' atau tidak, kawasan berkenaan termasuk dalam 'senarai hitam' atau 'senarai dalam perhatian' dan sebagainya.

Perlu faham betul-betul mengenai kawasan hartanah berkenaan.

5. Status Pekerjaan

Ini bagi yang bekerja di syarikat "ABC Sdn Bhd" atau "ABC Enterprise". Bukan nak kata kalau bekerja di syarikat sebegini tidak boleh memohon pinjaman, tetapi perlu ada sekurang-kurangnya Surat Pengesahan Kerja terkini dan dokumen kena lengkap.

Selain daripada itu, status pekerjaan "Kontrak" dan masih belum diserapkan walaupun sudah tiga tahun bekerja di syarikat terbabit.

Atau mungkin juga, syarikat itu sendiri bermasalah, contohnya pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bulan Januari hanya dibayar pada bulan Jun.

Ini lebih "bahaya" kerana bank tidak rasa "selamat" untuk memberi pembiayaan.

6. Dokumen tidak lengkap

Apabila menghantar dokumen tidak lengkap kepada pihak bank, sebagai contoh penyata gaji tiga bulan, tetapi bukan yang terkini.

Atau pun hanya menghantar dokumen yang terlalu asas saja. Sebagai contoh, mohon pembiayaan bernilai RM300,000, tetapi hanya beri penyata gaji tiga bulan dan salinan kad pengenalan.

Perlu diingatkan, walaupun merasakan dokumen kita "layak" membeli rumah berharga RM300,000, namun poket kita sebenarnya belum mampu membayar RM1,500 sebulan untuk rumah itu.

7. Komitmen terlalu tinggi

Komitmen saja sudah hampir 70 peratus daripada gaji, itu belum dicampur lagi kos hidup. Bagaimana mahu meneruskan kelangsungan hidup? Apatah lagi mahu membayar pembiayaan rumah? Terlalu banyak hutang "jahat" yang sepatutnya tidak perlu wujud.

8. Simpanan jatuh dari langit

Tidak semua orang ada rezeki simpanan dari "langit". Maksudnya di sini, esok nak hantar permohonan rumah, hari ni cepat-cepat

masukkan wang RM50,000 di dalam akaun.

RM50,000 mungkin satu jumlah yang besar untuk simpanan, namun baru perlu diingat bahawa duit itu baru diperoleh semalam. Jika benar duit itu memang simpanan kita, kena tunjukkan bukti kepada bank.

Sebagai contoh, baru jual tanah di kampung, maka boleh dikepilkan sekali dokumen itu. Sebab apa? Ramai orang cuba mengaburi mata bank. Duit pinjam saudara mara dan rakan serba sedikit, dihimpunkan dan dipindahkan ke dalam akaun sementara pinjaman diluluskan. Inilah yang Bella maksudkan "jatuh dari langit". Jumlah simpanan banyak, tetapi baru semalam dia masukkan.

Sebenarnya, jika kita faham konsep untuk memikat hati bank serta boleh mengelak perkara penting di atas, kita tidak akan ada masalah untuk dapatkan kelulusan.

Profil kewangan kita sangat penting untuk menentukan samada permohonan pembiayaan kita akan lulus atau sebaliknya.

Penulis ialah ahli perbankan yang mempunyai pengalaman sembilan tahun dalam bidang permohonan pinjaman rumah dan profil pembiayaan. Beliau boleh dihubungi di 019-6353625.

INFO

Maklumat lanjut mengenai Pameran Hartanah MyRumah boleh hubungi 012-6560263 (Haslan) atau e-mel ke myrumah@mediaprima.com.my

Sumber: Berita Harian