Ikhtiarkan perpustakaan mini di rumah.

perpustakaan di rumah

CADANGAN beberapa orang tokoh akademik agar setiap rumah rakyat Malaysia mempunyai sebuah perpustakaan mini di rumah bukanlah satu cadangan baharu. Malah, setiap kali sambutan Bulan Membaca iaitu pada Ogos, ada suara-suara yang mencadangkan agar kita mengadakan perpustakaan mini di rumah.

Ramai sedia maklum bahawa kadar celik huruf di Malaysia sangat tinggi dan boleh dikatakan hampir semua rakyat di negara boleh membaca. Oleh itu usaha untuk merealisasikan hasrat ini boleh tercapai jika ada kesungguhan.

Gerakan membaca di Malaysia bermula pada Ogos 1972 sempena Bulan Membaca Kebangsaan. Sudah lama masyarakat di negara ini diingatkan tentang peri pen­tingnya membaca selain untuk kepentingan diri dan keluar­ga, membaca bertujuan membina negara.

Pada 1995, kita melancarkan Kempen Membaca Kebangsaan dengan slogan Mari Membaca Bersama. Tidak cukup dengan itu, Program Nilam (Nadi Ilmu Amalan Membaca) diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran pada 1998.

Senario disebutkan tadi menunjukkan bahawa dalam setiap keluarga boleh dikatakan seluruh isinya boleh membaca. Oleh demikian, kewajaran mewujudkan sebuah perpustakaan mini di rumah tidak mustahil jika ada kemahuan.

Bukan susah mengadakan sebuah perpustakaan mini di rumah. Tidak perlu sebuah bilik 10 kaki x 10 kaki diisi dengan buku. Kalau ada 100 buah buku sudah cukup sebagai langkah awal mewujudkan sebuah perpustakaan mini. Lama-kelamaan bilangannya bertambah jika setiap minggu atau setiap bulan diisi dengan buku.

Jika sudah menjadi ulat buku, tentu bukan sebuah dua buku dibeli setiap bulan, barangkali lebih banyak. Jika dalam sebuah rumah itu ada pelbagai peringkat usia dan profesion, lebih banyak buku dibeli dan terkumpul.

Semua maklum bahawa mengadakan sebuah perpustakaan mini di rumah sangat penting untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan keluarga. Anak-anak juga akan menjadi suka buku dan bahan bacaan jika ayah dan ibu mereka gemar membaca.

Selain itu, apabila ada perpustakaan mini, budaya bertukar-tukar buku dengan rakan-rakan dan adik-beradik akan wujud dan akan menjadi saingan sihat dalam usaha memiliki buku-buku baharu setiap bulan dalam kalangan keluarga.

Bagaimanapun, banyak perkara yang menjadi hala­ngan dalam usaha mewujudkan sebuah perpustakaan mini di rumah. Ia berpunca daripada trend masyarakat kini yang lebih gemar menghabiskan wang dengan membeli per­alatan-peralatan rumah seperti perhiasan, aksesori kereta dan selalu bertukar telefon pintar.

Di samping itu ramai antara kita membaca atas kepen­tingan lulus peperiksaan. Tabiat suka membaca akan terhenti apabila seseorang itu melangkah ke alam pekerjaan, apatah lagi jika bidang pekerjaan itu tidak berkait rapat dengan pendidikan.

Dan kita hanya dapat melihat bahan-bahan bacaan ini hanya menghuni di rumah-rumah golongan pendidik tetapi dalam kalangan mereka pun belum tentu ada perpustakaan mini di rumah.

Pada akhirnya usaha untuk mewujudkan sebuah perpustakaan mini di rumah seakan-akan menjadi agenda di atas kertas sahaja dan ia sebenarnya berpunca daripada sikap malas membaca dalam kalangan masyarakat.

Lihatlah edaran dan jualan akhbar-akhbar harian yang kian menyusut. Anak-anak muda tidak membaca akhbar dan buku sebaliknya bergelumang dengan telefon pintar yang tidak boleh dijadikan khazanah dalam sebuah perpustakaan.

Hakikatnya, usaha mewujudkan sebuah perpustakaan mini di rumah adalah usaha murni. Ikhtiarkan bermula dari sekarang supaya perpustakaan ini dapat diwujudkan demi manfaat bersama.

Jarang ditemukan individu yang mempelawa kita ke perpustakaan mini di rumahnya sedangkan ia juga adalah satu kaedah mengisi masa jika kita berkunjung dan bermalam di rumah adik-beradik, saudara-mara atau kenalan kita.

Nukilan: M. Jasni Majed
Kredit Utusan