Peneroka Rancangan Tanah Berkelompok (RTK) dinasihat jangan jual tanah.

jangan jual tanah


KUANTAN 6 Feb. - Penerima surat hak milik tanah Rancangan Ta­nah Berkelompok (RTK) Tebing Tinggi di sini seramai 393 orang dinasihatkan supaya tidak menjual tanah mereka kerana bukan mudah untuk mendapatkannya.

Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid berkata, ada antara penerima terpaksa menunggu sehingga 10 tahun setelah permohonan dibuat untuk mendapatkan hak milik terhadap tanah berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah kerana menyelesaikan masalah tanah membabitkan penduduk di RTK Tebing Tinggi di sini.

“Belum pun mendapat hak milik, saya sudah mendapat berita ada penerima ingin menjual tanah mereka. Jangan jual, tetapi binalah rumah untuk masa depan keluarga dan anak-anak,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian suratan hak milik RTK Tebing Tinggi di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Mustaffar Kamal berkata, UMNO Bahagian Indera Mahkota akan terus mengenal pasti mereka yang layak untuk menerima tanah kurniaan itu jika tawaran dibuka.

Sementara itu, seorang penerima hak milik, Sharifah Hasnah Syed Hussain, 65, berkata, dia gembira kerana setelah tiga tahun menunggu, hasratnya mendapatkan hak milik tanah di RTK berkenaan tercapai.

“Saya lega kerana masalah geran selesai dan saya dengan anak-anak akan berbincang tentang perancangan seterusnya selepas ini, saya akan membangunkan tanah ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang memahami keperluan rakyat yang memerlukan tanah,” katanya

Nukilan: Mohamad Shofi Mat Isa Sumber: Utusan